Aku Takut Jadi Kaya?

Siapa tak mahu kaya? Semua orang mahu jadi kaya kerana dengan kekayaan memudahkan segala keinginan dipenuhi. Tapi kenapa tidak semua orang boleh jadi kaya walaupun ada impian mahu jadi kaya? Persoalananya juga, siapakah yang menentukan kita boleh jadi kaya?

Hidup ini terlalu banyak misteri kenapa hanya orang tertentu saja boleh jadi kaya. Ada orang berpandangan dengan berusaha keras dan mengurus harta dengan betul akan buat orang jadi kaya. Ada pula yang kata dengan berbaik baik dengan orang berjaya yang sudah kaya raya akan berpeluang menjadi kaya sama atas sokongan dam bimbingan yang diberikan.

Sesungguhnya pandangan itu tak dinafikan memang betul. Maklumat mereka yang berjaya dengan menjadi kaya seperti yang disarankan terlalu banyak. Namun, kegagalan mereka dalam usaha untuk menjadi kaya juga sangat banyak. Kegagalan bagaimana yang dimaksudkan itu?

Ramai yang sudah menjadi kaya raya, tetapi kekayaan itu hanya sia sia. Segala keperluan dan kehendaknya dapat dipenuhi. Tetapi masih lagi tiada kepuasan. Seolah olah apa yang sudah dipunyai tidak cukup. Sementara apa yang dimiliki pula takut terlepas daripada tangannya. Bimbang dan takut ini menjauhkan diri daripada rasa bahagia.

Sudah kaya tapi hati tidak tenteram, nikmat ketenangan jiwa yang telah ditarik dari dalam hati. Takut rugi dan tidak mahu berbuat kebajikan dengan kekayaan. Maka tunggu musibah yang yang akan datang. Harta kekayaan adalah ujian dan tanggungjawab dalam kehidupan. Bukan untuk dibolot dan tamak mahu memiliki segala apa yang ada sehingga apa yang ada ditangan orang lain juga diambil dengan cara licik dan halus.

Sebelum memutuskan mahu jadi kaya, soal pada diri adakah mampu menguruskannya dengan baik untuk kebaikan sesiapa sahaja yang memerlukannya. Mahukah hanya mengambil apa yang hak cukup sekadar keperluan dan kemudahan hidup. Selebihnya pula diberikan kepada orang lain dalam bentuk yang mereka berhak mendapatkannya. Tanya pada diri, mampukah aku?

Kita tidak pasti adakah mampu atau tidak menguruskannya dengan baik dan kebaikan. Tetapi kita boleh mengetahui kemampuan kita apabila dikurniakan dengan sedikit kekayaan sebagai ujian. Bukan sekali dua ujian itu datang, ia berkali kali. Jika yang sedikit pun kita tahu bersyukur dan mengawal kehendak yang bermacam macam, in sha Allah mampu mengawal diri apabila diuji dengan kekayaan yang banyak. Tetapi untuk menerima lebih banyak kita akan diuji dengan banyaknya yang sedikit dahulu.

Siapa tak mahu kaya? Mereka yang banyak amal ibadah pun sudah tentu mahu. Mereka juga manusia biasa ada kehendak dan tidak terlepas daripada ujian harta dan kekayaan. Jika mereka mahu sudah tentu akan berdoa dalam setiap ibadah mereka. Namun ia bersyarat dengan penuh tanggungjawab dan perlu sanggup melalui ujian yang banyak disebabkan memiliki kekayaan itu. Bukan mudah mahu jadi kaya raya.

Bagi mereka yang jahil suka sangat mahu jadi kaya, sama ada kekayaan itu akan menyesatkan mereka dan akhirnya membinasakan mereka. Ada juga orang yang jahil itu menemui hidayah dengan kekayaannya apabila terbuka hatinya untuk melakukan kebaikan dengan harta kekayaan itu. Hidayah itu datang bukan dengan sendirinya. Ia datang melalui nasihat dan apa yang disampaikan oleh orang alim dan ulama.

Comments

Popular posts from this blog

Simkad Khas Untuk Internet

Mobile Wifi Hotspot

Persoalan Tentang 4G LTE Wifi Modem USB Stick