Perjuangan Apa?

Hidup ini jangan terlalu banyak matlamat perjuangan. Cukup lah dengan satu, tetapi jalannya perlu ada banyak. Kerana satu jalan saja tidak cukup. Ibarat mahu sampai ke satu destinasi jika satu jalan terputus maka guna jalan yang lain. Jika jalan itu rosak juga maka guna pula jalan yang lain. Sehingga lah langsung tiada jalan lain, mahu tak mahu terpaksa guna kapal terbang. Sedangkan kita mahu memandu kenderaan sendiri agar bebas ke mana saja.

Apa perjuangan yang perlu jadi matlamat kita dalam hidup? Kebelakangan ini terlalu banyak kesesatan yang menyelewengkan perjuangan kita. Hidup ini hanya sementara tetapi apa yang diperjuangkan seolah olah kita akan hidup selamanya. Ada yang berkata apa yang diperjuangkan adalah untuk anak cucu, tetapi sebaliknya tidak seperti apa yang dikata.

Matlamat perjuangan bercampur baur dengan kepentingan diri. Mahu diri dipuja dan dipuji oleh ramai manusia dengan pangkat dan darjat yang tinggi. Juga mahu memperoleh harta kekayaan yang banyak demi kelangsungan hidup. Agama diasingkan daripada matlamat perjuangan, dan apabila agama dibawa bersama dalam matlamat perjuangan melampaui batas pula. Inilah yang dinamakan kesesatan.

Jangan biarkan kesesatan itu menyesatkan diri. Tetapkan perjuangan hidup ini hanya untuk mencari kebenaran apa yang diajar dalam agama Islam. Apa yang  diperintahkan Allah swt dalam ajaran Islam. Utamakan apa yang paling utama. Kehidupan ini adalah untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran dengan kemampuan yang ada. Usah menyusahkan diri dan menyeksa diri. Tapi bukan pula berserah diri dan malas berusaha.

Apa yang diperjuangkan adalah membenarkan kebenaran ajaran Islam dan membenarkan keagungan Allah swt Tuhan sekalian alam. Bukan mengagungkan makhluk atau individu atau parti atau organisasi sehingga melampaui batas dan membelakangkan kebenaran serta keadilan. Jika tidak mampu melawan maka tinggalkan. Namun jangan pula tidak membenarkan kebenaran dengan perkataan dan tindakan. Kalau bukan secara terang terangan biarlah secara sembunyi sembunyi.

Allah swt tidak memaksa kita berjuang dan mati dalam perjuangan yang sukar kecuali jika tiada jalan lain. Banyak kisah teladan dalam Al-Quran tentang laluan perjuangan para alim ulama dan nabi serta rasul terdahulu. Bukan satu jalan saja, tapi perjuangan mereka hanya satu. Membenarkan kebenaran Allah swt dan berjalan di atas kebenaran. Mereka tidak berjalan atas kesesatan dan menyeleweng daripada kebenaran.

Jadi, bagaimana kita berjuang dalam hidup? Percaya dan yakin kepada jalan Allah. Bukan percaya dan yakin dengan jalan yang ditunjukkan oleh orang lain. Kita tidak pasti adakah jalan itu lurus atau akan menyesatkan kita. Kepercayaan dan keyakinan itu ada dalam diri sendiri dan Dia maha mengetahui apa yang ada di dalam dada dan fikiran setiap manusia.


Comments

Popular posts from this blog

Simkad Khas Untuk Internet

Mobile Wifi Hotspot

Persoalan Tentang 4G LTE Wifi Modem USB Stick