Pemurah Dalam Bekerja

Kenapa bekerja? Soalan ini sama seperti kenapa hidup? Kerja untuk apa dan hidup untuk apa? Bila faham kenapa kita hidup baru lah dapat faham kenapa bekerja. Kita bekerja untuk siapa dan hidup pula untuk siapa? Jika kita tidak hidup tidak lah akan bekerja. Kerana bekerja adalah untuk hidup. Faham kah kita makna disebalik pengertian ini?

Bekerja adalah bahagian yang paling utama dalam hidup. Malah hidup ini sendiri adalah sebuah amanah. Kita tidak minta diberi nyawa untuk hidup tapi kerana kemurahan Allah swt kita diberi peluang untuk menikmati hidup. Jangan lupa apa tujuan hidup ini. Kita asalnya tak minta pun hidup tetapi kita perlu bersyukur kerana mendapat peluang hidup menjadi manusia, bukannya haiwan.

Bekerja adalah cara bagaimana amanah dalam kehidupan kita dilaksanakan. Justeru, bekerja itu seharusnya tidak boleh lari daripada misi kehidupan yang telah diamanahkan kepada kita. Kerana kemurahan Allah swt memberi nyawa untuk kita hidup, maka kita juga seharusnya pemurah dalam apa yang kita kerjakan supaya dapat memberi "nyawa" kepada kehidupan orang lain dan juga kehidupan makhluk lain.

Usah terlalu bangga diri dan sombong untuk meletakkan harga diri kita terlalu mahal sehingga segalanya apa yang kita berikan mesti dibayar dengan harga yang mahal. Kelak apa yang akan berlaku adalah kehidupan kita sendiri akan menjadi sangat mahal. Nak tahu bagaimana ia boleh jadi mahal? Kita sombong akan dibenci ramai orang. Maka kita akan mencipta beberapa orang musuh. Seorang musuh sudah cukup menyusahkan kita dengan kerugian yang besar.

Apa lagi yang akan menjadikan hidup kita mahal jika berlagak dan bermegah harga diri sangat mahal untuk hidup dan bekerja dengan kerja gaji rendah? Tidak selamanya kita akan senang, ada masanya akan ditimpa sakit dan kemalangan yang akan menelan belanja yang sangat mahal. Sombong adalah sifat yang dilarang Allah kepada manusia. Melanggar larangan itu bermakna menempah malapetaka dan tidak akan diselamatkan daripada sebarang kejahatan dan bala bencana.

Pemurah adalah sifat yang mulia, ia adalah antara kebaikan yang dituntut. Namun jangan pula lupa dengan dugaan dan cabaran apabila menjadi pemurah. Apa dugaannya? Akan ada segolongan manusia yang akan mengambil kesempatan. Dugaan ini perlu diperhatikan agar dapat dikesan dari awal lagi sebelum kita menjadi mangsa kezaliman dan penganiayaan. Cabaran menjadi pemurah adalah untuk menilai siapa yang perlu kita bantu dengan kebaikan. Tak semua orang patut bantu dengan kemurahan kita.

Adakah patut orang yang berkemampuan dengan harta dan duitnya kita pemurah bantu mereka dengan menderma? Melainkan kita membantu kerana ada tujuan lain, mungkin untuk dapat habuan atau kesenangan lain yang akan memberi kekayaan yang lebih banyak lagi kepada kita. Itu rasuah namanya. Rasuah adalah kejahatan yang zalim. Sepatutnya kita bantu dengan kemurahan kita kepada mereka yang benar benar memerlukan. Bukan kerana mahu menjadi tamak kita bermurah hati membantu orang yang mampu dan sudah kaya raya.

Membantu orang adalah satu kerja. Kenapa kita bekerja? Kerana kita mahu membantu mempermudahkan urusan orang lain. Kalau kita seorang polis, kita bantu jaga keselamatan orang awam dan menahan mereka yang melakukan kesalahan supaya tidak merosakkan kehidupan orang lain. Kalau kita seorang doktor, kita bantu kesan apa sakit orang lain dan memberi ubat yang boleh menyebutkannya. Semua kerja ada tujuannya untuk memberi kebaikan kepada orang lain.

Kita dibayar gaji dengan kerja yang kita buat dan lakukanlah kerja itu dengan sebaiknya. Jangan terlalu berkira untuk melakukan kerja dengan lebih baik lagi. Membantu orang lain adalah kerja yang wajib, tetapi membantu dengan memberi senyuman, melakukan kerja dengan perkataan yang baik dan beradab sopan. Itu adalah satu kemurahan dalam bekerja. Kalau bekerja dengan muka masam, mulut puaka dan kasar, itu satu sifat yang sombong.

Bekerja tujuannya untuk menyelesaikan masalah, sama ada masalah sendiri dan juga orang lain. Muka masam, mulut lazer dan seumpamanya takkan selesaikan masalah. Dengan upah kerja kita dapat berbelanja, dengan kebaikan dalam bekerja juga rezeki akan ditambah. Tanpa keyakinan kita tak akan percaya dengan apa yang telah dijanji dan dijamin ke atas kebaikan yang dilakukan dalam bekerja.

Kerana kemurahan dalam berbuat kebaikan lah juga lah rezeki kita dimurahkan. Ada orang pangkat tinggi, gaji besar, wang banyak tetapi kerjanya tidak tidak pernah berkurang dan memberikan tekanan kepada mereka. Ada orang tiada pangkat, gaji sederhana dan kerjanya sentiasa ada namun dipermudahkan dengan jalan penyelesaiannya. Walaupun kerja banyak tidak lah memberi tekanan melampau. Apakah rezeki tambahan dia dapat?

Rezeki tidak hanya dinilai berapa banyak duit dapat daripada gajinya. Rupa bentuk rezeki itu banyak dan ianya boleh datang melalui kebaikan yang kita lakukan. Dengan syarat lakukan kebaikan itu kerana Allah swt. Buat baik untuk menjadi saksi Allah bahawa sesungguhnya ganjaran kebaikan itu benar benar diterima dan kita akui kemurahan Allah sebagai pencipta alam ini. Dia lah yang memberi rezeki dan ganjaran kepada sesiapa yang Dia kehendaki daripada amalan baik mereka.

Bekerjalah untuk memberi kebaikan, kelak Allah akan memberi kebaikan pula kepada kita dan menjadi saksi kepada apa yang diberikan Nya.


Comments

Popular posts from this blog

Simkad Khas Untuk Internet

Mobile Wifi Hotspot

Persoalan Tentang 4G LTE Wifi Modem USB Stick