Bersatu Melalui Ekonomi, Berpecah Kerana Politik?

Persoalan ini sangat menarik untuk dikupas. Kita lihat banyak pertubuhan dan kerjasama antara negara di seluruh dunia dibentuk atas sebab kepentingan ekonomi. APEC sebab minyak yang menjadi nadi pembangunan ekonomi. Asean sebab menjaga kepentingan negara daripada pergolakan politik serantau dan memperkukuhkan ekonomi serantau dalam persaingan ekonomi global. Banyak lagi contoh lain. Cari sendiri.

Tetapi kerana ideologi politik berbeza boleh menyebabkan perpecahan dan pertelingkahan. Perhatikan negara China, memiliki potensi ekonomi yang sangat besar. Tetapi kerana ideologi politik komunis, mereka dilihat sebagai ancaman dunia. Namun, hari ini kemajuan ekonomi yang mereka capai telah menyatupadukan rakyat untuk mempertahankan negara daripada tindakan kuasa besar lain yang anti komunis.

Itu semua dari sudut yang sangat besar. Cuba kita kecilkan sudut pandangan ekonomi dalam keluarga dan masyarakat tempatan. Dalam keluarga misalnya. Apa akan terjadi jika ekonomi keluarga itu rapuh, lemah, tidak berdaya maju? Pergolakan keluarga akan berlaku. Anak isteri tidak cukup makan, isteri berleter dengan suami sebab tak cari kerja lebih, suami marah isteri sebab boros sangat berbelanja.

Memperkukuhkan kedudukan ekonomi dapat mempertahankan kepentingan keluarga atau masyarakat. Jika ekonomi lemah, pengaruh luar mudah masuk campur tangan dan seterusnya merampas secara perlahan lahan hak dan kepentingan kita. Sebagai contoh, apabila ekonomi lemah, kedudukan kewangan juga akan goyah.

Pengaruh luar akan masuk melalui tawaran pinjaman dan mengikat kita dengan hutang. Cagarannya adalah diri kita dan keluarga kita. Kita akan bekerja dapatkan wang untuk bayar hutang. Gagal bayar hutang maka apa yang kita miliki akan jatuh ke tangan orang lain. Malah keluarga juga jadi pecah belah porak peranda.

Bagaimana pula politik boleh menyebabkan pecah belah? Apa apa dasar pemerintahan dalam negara ditentukan oleh politik. Termasuk dasar ekonomi dan kewangan. Orang politik menggunakan kuasa pemerintahan mereka menggubal sesuatu perundangan atau dasar. Sebagai contoh GST dan penetapan harga minyak, penarikan subsidi, mengapungkan nilai matawang.

Keputusan perundangan dan dasar yang tidak tepat boleh mengancam kestabilan ekonomi, kewangan dan seterusnya keselamatan sosial apabila berlaku huru hara pasaran dan perbelanjaan penduduk. Politik yang tidak cekap menyelesaikan masalah boleh mengakibatkan ketidakstabilan.

Politik negara China walaupun ideologi komunis tapi cekap menyusun struktur ekonomi dan kewangan menjadikan ia negara yang makmur dan memberi keuntungan kepada penduduk China. Ekonomi yang mantap telah memberi keupayaan kepada pemerintah China mempersiapkan diri dengan kekuatan ketenteraan dan rakyat yang bersatu untuk mempertahan negara.

Tetapi, kedudukan ekonomi dan kewangan yang lemah dalam kalangan rakyat mengakibatkan kemunduran dan ketidakupayaan mempersiapkan diri untuk mempertahankan hak keluarga, masyarakat seterusnya negara sendiri. Rakyat yang lemah tidak menjadikan negara kuat, walaupun dikhabarkan kedudukan ekonomi dan kewangan negara kukuh. Namun ianya tidak bermakna.

Realiti yang ada di sekeliling kita memperlihatkan apa yang sedang berlaku. Walaupun kita memiliki sumber yang banyak dan berpotensi menjana ekonomi, disebabkan urus tadbir yang tidak cekap sumber tersebut tidak dapat dibangunkan dengan baik. Lebih teruk lagi apabila sumber itu direbut dan diserahkan kepada orang asing untuk dibangunkan.

Kita ada tanah di belakang rumah tapi terbiar. Kepimpinan kita lemah dan tidak cekap. Sedangkan tanah itu boleh dibangunkan dengan tanaman atau ternakan yang boleh menjana ekonomi. Ekonomi yang mantap akan meningkatkan kedudukan kewangan. Kewangan yang kukuh mampu memajukan diri dan memelihara hak serta kepentingan kita. Kepimpinan juga dapat menjadi lebih baik apabila ekonomi dan kewangan diurus dengan cekap.

Ekonomi dapat menyatukan rakyat kerana ia akan meningkatkan kemampuan berdikari dan mempersiapkan diri dengan keperluan serta kemudahan hidup. Politik akan menjadikan keadaan huru hara apabila urus tadbir teruk, tidak cekap, menyeleweng, memanipulasi keadaan dan mengambil kesempatan atas kelemahan rakyat.

Lihat dari sudut pandang yang lebih spesifik. Realiti akan lebih jelas dan kita dapat memahami sedikit demi sedikit apa yang berlaku dan bagaimana ia berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Comments

Popular posts from this blog

Simkad Khas Untuk Internet

Mobile Wifi Hotspot

Persoalan Tentang 4G LTE Wifi Modem USB Stick