Yakin Diri vs Yakin Pada Allah

Yakin pada diri sendiri memang bagus, kita percaya boleh melakukan apa yang kita mahu. Tetapi terlalu yakin juga boleh membinasakan diri. Terlalu yakin boleh menyebabkan kita lupa siapa diri kita yang sebenarnya. Kita adalah makhluk yang diciptakan Allah sebagai khalifah untuk mentadbir dan mengurus kehidupan dunia.

Yakin Diri tanpa mengenal Allah boleh menyebabkan kita melampaui batas. Merasakan diri mampu melakukan sesuatu dengan mudah, memiliki kekayaan dan kekuatan untuk melakukan sesuatu hingga melupakan bahawa semua itu terjadi dengan izin dan kehendak Allah.

Yakin pada Allah pula tidak terlalu memerlukan keyakinan diri. Apa yang penting adalah percaya boleh melakukan sesuatu walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Adakah kita yakin diri bila logik akalnya kelihatan mustahil. Tetapi kerana perintah Allah walaupun nampak mustahil dapat kita lakukan, tetap juga kita lakukan.

Buat saja dan serahkan saja apa yang akan berlaku seterusnya kepada Allah. Amat sukar untuk kita memahami kenapa dan bagaimana ini boleh berlaku. Ini bukannya cerita kosong, sudah banyak teladan daripada kisah lalu dalam sejarah atau kisah kisah dalam kehidupan seharian yang kita dengar sesuatu yang mustahil pada pemikiran ramai orang boleh berlaku.

Yakin Diri terjadi apabila kita yakin kita mampu melakukan sesuatu. Kita yakin apabila adanya kemudahan untuk melakukannya. Kita yakin apabila ada kuasa, wang, harta, pangkat dan pengikut yang ramai. Bila ada semua itu baru kita yakin dapat melakukan sesuatu kebaikan.

Bagaimana pula dengan yang tidak memilikinya? Adalah tidak adil sekiranya mereka yang memiliki segala kemudahan itu yakin diri melakukan kebaikan. Manakala yang tidak ada, hilang kepercayaan diri untuk melakukan kebaikan dan menjauhi Allah.

Amat malang jika meletakkan keyakinan diri pada pangkat, harta, kekayaan, kedudukan, pengaruh dan pengikut melebihi kepercayaan kepada Allah. Ini adalah cubaan untuk mereka yang tak punya apa apa, juga cubaan untuk mereka yang diberi kemudahan.

Jika masing masing diberi kelebihan dan kekurangan itu sebagai cubaan atau ujian maka keadilannya dinilai sejauh mana kita bersyukur dan juga berusaha untuk melakukan kebaikan. Yakin Diri jangan bersandar kepada kebendaan atau kemudahan yang diberi, ia perlu bersandar kepada Allah yang mengizinkan sesuatu itu boleh berlaku.

Jika begitu cara kita berfikir, tak kira senang atau susah kita tetap berusaha melakukan kebaikan. Bukan menunggu diberi kemudahan baru berbuat kebaikan. Buat saja kebaikan dan berharaplah kepada Allah agar diberi kemudahan untuk melakukannya.

Comments

Popular posts from this blog

Simkad Khas Untuk Internet

Mobile Wifi Hotspot

Persoalan Tentang 4G LTE Wifi Modem USB Stick